Monday, May 27, 2013

Pemuda UMNO lesu !!!!

"Malangnya, ketika kami berhempas pulas menggalas cabaran memastikan maruah Melayu dan Islam tidak tergadai, Pemuda UMNO seolah-olah lesu dan macam tidak tahu berbuat apa-apa,"

"Pemuda UMNO khususnya di peringkat bahagian seolah-olah lebih berminat dan memfokus terhadap pengaruh mereka dalam kelompok parti sahaja tanpa menghiraukan keadaan sekeliling."

Ketua Pemuda UMNO
Dalam berdepan 'serangan' bertubi-tubi pembangkang termasuk dakwaan palsu mengatakan kerajaan melakukan penipuan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, suara pergerakan sayap khususnya Pemuda UMNO dilihat lesu untuk menangkis dakyah berkenaan.

Kritikan sedemikian dinyatakan Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah yang jelas kecewa dengan sikap membisu pergerakan sayap parti itu terhadap isu-isu dibangkitkan pembangkang.

"Selaku aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sayangkan negara dan mengharapkan kesinambungan kepemimpinan Melayu dan Islam terus bersinar di tanah air ini, sudah tentulah kami amat mengharapkan agar digembleng usaha semua pihak.

"Bersatu dan sederap dalam mempertahankan ketuanan Melayu akan menjadi pemangkin dalam meniti cabaran yang begitu mencabar masa kini.

"Malangnya, ketika kami berhempas pulas menggalas cabaran memastikan maruah Melayu dan Islam tidak tergadai, Pemuda UMNO seolah-olah lesu dan macam tidak tahu berbuat apa-apa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas teguran Awang Selamat menerusi ruangan Analisis Mingguan yang antara lain meminta pemimpin pergerakan sayap UMNO supaya tidak terlalu pasif malah digesa bangkit menjawab gelombang penipuan pembangkang.

Menurut Awang Selamat, sikap pasif itu hanya memberi isyarat salah dan mengelirukan kepada majoriti rakyat yang memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN).

Mohd. Mustaffa berkata, Pemuda UMNO seharusnya bertanggungjawab menjadi benteng utama mempertahankan ketuanan bangsa daripada terus dirobek golongan cauvinis dan petualang negara.

"Sebagai contoh, ketika NGO Islam mencari jalan mengekang kemaraan musuh dengan menjadikan kempen boikot barangan sebagai sebahagian daripada alat tempur serta mengajar Melayu di AirAsia supaya jangan lupa diri, Pemuda UMNO kelihatan sepi seperti tidak tahu mengikut rentak tari pejuang.

"Tidak dinafikan penglibatan segelintir pemimpin Pemuda UMNO dalam usaha mereka menggembleng tenaga dan berusaha membantu kerajaan tetapi peranan yang lain di mana?" soal beliau.

Katanya, sepanjang pemerhatian, Pemuda UMNO khususnya di peringkat bahagian seolah-olah lebih berminat dan memfokus terhadap pengaruh mereka dalam kelompok parti sahaja tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Pengaruh itu, ujarnya, adalah satu keutamaan dan bukannya agenda parti serta mempertahankan kerajaan yang ada.

"Oleh yang demikian, semoga teguran ini dilihat dari sudut positif serta membina dan pemimpin tertinggi UMNO perlu mengkaji dengan lebih serius berkaitan kriteria pemilihan kepimpinan Pemuda UMNO jika parti itu ingin terus relevan kepada perjuangan agama dan bangsa.

"Bangunlah Pemuda UMNO bersama kami dalam mengembalikan maruah ummah," tegasnya.

No comments:

Post a Comment