Thursday, June 27, 2013

Tahan segera pemilik akaun Facebook hina nabi


Tahan segera pemilik akaun Facebook hina nabi
Barisan kepimpinan Pemuda Umno Bahagian Kemaman menunjukkan salinan laporan polis berhubung kes hina Nabi Muhammad dan Islam dalam laman sosial Facebook
CHUKAI – Susulan penghinaan terbaru yang amat teruk kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan Islam di laman sosial Facebook, barisan kepimpinan Pemuda Umno seluruh Bahagian Kemaman membuat laporan polis agar pemilik akaun itu ditangkap segera.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Chukai, kira-kira jam 5.45 petang kelmarin, sekali gus menjadi laporan polis pertama yang dibuat terhadap kes itu di Kemaman, setakat ini.

Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kemaman, Mohd Faisal Johar @ Ismail berkata, pihaknya mewakili suara warga Kemaman amat sedih, marah dan kecewa atas perlakuan pemilik akaun Facebook Sally Yen.

Menurutnya, penghinaan yang amat teruk antaranya melabelkan Nabi Muhammad sebagai ‘haiwan gila seks’ dan agama Islam dilabelkan sebagai ‘agama dajal’ itu menunjukkan pelaku tidak menghormati penganut agama lain.

“Kami amat bimbang kedamaian dan kerukunan negara Malaysia akan tergugat jika tiada tindakan tegas diambil dan perkara ini terus berterusan.


“Oleh yang demikian, kami sedar orang yang menyatakan pernyataan sebegini rupa mungkin tidak memahami Islam sebenarnya, namun tindakan menghina agama lain secara sebegitu dahsyat di laman sosial hendaklah dihentikan segera,” katanya.

Menurutnya, perkara itu amat serius dan harus disiasat serta merta.

“Justeru, kami mendesak pihak polis dan kementerian berkaitan menjejaki segera pemilik sebenar akaun Facebook tersebut dan dibawa ke muka pengadilan berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Kami juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya saling menghormati antara satu sama lain dan tidak membangkitkan hal sensitiviti agama di laman sosial kerana ia pasti akan memudaratkan nikmat keamanan yang telah kita kecapi sejak sekian lama,” katanya. - SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment