Thursday, April 18, 2013

Tee Keat sebagai calon bebas lawan Rafizi & Garry ???


Datuk Seri Ong Tee Keat memikirkan untuk bertanding sebagai calon bagi kerusi parlimen Pandan sebagai calon bebas, selepas digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya 2013.

Dalam tulisan di laman Facebooknya hari ini, beliau bertanya kepada pengundi:"Pengundi Pandan, apakah anda akan menyokong Ong Tee Keat sebagai calon bebas?"

Awal pagi ini sekumpulan penyokongnya dilihat di pasar basah di Pandan untuk menunjukkan sokongan kepadanya.

Malam ini, satu lagi kumpulan merancang demonstrasi untuk menyokongnya.

Dengan hari penamaan calon semakin hampir pada Sabtu, Ong masih belum memberikan komitmen untuk bertanding.

Spekulasi mengenai apa akan dilakukan Ong (gambar) dimainkan dengan latarbelakang permusuhannya dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang dilihat sebagai di belakang keputusan penyingkiran itu.Dr Chua dilaporkan hari ini oleh akhbar berbahasa Cina Nanyang Siangpau mengatakan sebab mengapa Ong digugurkan adalah kerana beliau telah dituduh mengkritik BN dan MCA.

Jika Ong membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas, beliau akan berhadapan dengan peguam berumur 39 tahun Garry Lim Chin Yee dan Rafizi Ramli dari PKR.

"Saya akan beritahu apabila tiba masanya. Senarai calon MCA akan dihakimi oleh rakyat tidak lama lagi," kata Ong dalam kenyataan pendeknya kepada The Malaysian Insider awal minggu ini.

Ong yang tidak sebulu dengan penggantinya sebagai presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, merupakan ahli parlimen selama lima penggal bagi kerusi parlimen Pandan, digugurkan petang ini dari senarai calon Barisan Nasional (BN) selepas senarai akhir diserahkan kepada semua ketua parti komponen.

Beliau menyertai dua lagi naib presiden MCA Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Gan Peng Sieu yang turut digugurkan sebagai calon.

Ong dan Ng kedua-duanya penyandang ahli parlimen Pandan dan Raub, sementara Gan dilantik sebagai senator selepas kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol di Johor.

Gan pernah dikatakan seiring dengan kumpulan Ong masa berlakunya krisis dalaman MCA setelah pilihan raya 2008 yang menyaksikan perwakilan parlimen MCA berkurangan lebih daripada separuh.

Dr. Chua menggantikan Ong sebagai presiden MCA pada 2010, tapi Ong masih kekal popular di kalangan pengundi cina dengan jumlah sokongan yang ketara di dalam BN.

Setelah digugurkan dari senarai calon untuk pilihan raya ke-13 oleh Dr. Chua pada Februari lepas, Ong menegaskan beliau akan bertanding sebagai calon BN di Pandan melawan pengarah strategi PKR Rafizi yang dikenali ramai.

Ong pada masa itu juga tidak menjawab soalan sama ada dia akan pilih untuk bertanding sebagai calon bebas sekiranya BN tidak setuju untuk meletakkan beliau di Pandan.

Beliau juga tidak mengatakan sama ada beliau merasakan sebagai calon pilihan BN dan Najib bagi kerusi Pandan.


Kedua-duanya menurutnya pada ketika itu adalah spekulasi semata-mata sehingga kepimpinan BN membuat keputusan.


Difahamkan Ong disokong oleh pemimpin kanan Umno untuk mempertahankan kerusi parlimen Pandan oleh kerana populariti peribadinya dikalangan penduduk kawasan tersebut.


Pemerhati juga merasakan peluang BN untuk mempertahankan Pandan lebih baik jika Ong sebagai calon terutamanya apabila berhadapan dengan Rafizi dari PKR.


Rafizi, 35 mencipta namanya tahun lalu dengan beberapa siri pendedahan seperti skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menyebabkan namanya membanjiri dada-dada akhbar.


MCA menang 15 daripada 40 kerusi parlimen yang ditandinginya pada Pilihan Raya 2008; tujuh daripadanya terletak di Johor.

No comments:

Post a Comment