Monday, June 3, 2013

21 hari menjelang "perang besar" !!!


Melihat pada senarai anggota Parlimen yang bakal bersidang 24 Jun ini, perdebatan di Dewan Rakyat pasti hangat dengan pihak kerajaan dan pembangkang dijangka menyambung semula “pertarungan belum tamat” semasa pilihan raya umum yang sudah berlalu.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 133 kerusi berbanding 89 kerusi oleh pakatan pembangkang, perbezaan 44 kerusi.

Jika ditolak 55 wakil BN yang dilantik dalam Kabinet dan mengisi jawatan timbalan menteri, barisan penyokong kerajaan hanya tinggal 78 orang.

Di pihak BN nama-nama seperti Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan), Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Rompin), Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Datuk Noh Omar (Tanjong Karang), Chua Tee Yong (Labis), Datuk Ir Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dijangka memainkan peranan sebagai penyerang BN di Dewan Rakyat.

Namun, tiada lagi suara lantang Datuk Mohamad Aziz, bekas anggota Parlimen Seri Gading (tidak bertanding) atau Datuk Abdul Rahman Dahalan yang sebelum ini lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, setelah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Begitu juga Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang dilantik Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Khairy Jamaluddin yang kini Menteri Belia dan Sukan, dan penyelaras sayap Putera MIC, P. Kamalanathan yang dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Kedua.

Antara muka baru yang dijangka menjadi ‘ayam sabung’ pembangkang ialah Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Mohamed Hanifa Maidin (Pas-Sepang), Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu), Mohamad Idris Jusi (PKR-Batu Pahat), Idris Ahmad (Pas-Bukit Gantang) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil).

Berbeza sebelumnya, tidak ada anggota Parlimen ‘tidak berparti’ (Bebas) dipilih sebagai wakil rakyat dalam Parlimen ke-13. 

No comments:

Post a Comment